APA ITU 'KAWAD CAM' ?

 



1. Apa itu 'kawad cam'?


Pengecaman yang dijalankan untuk menguji samada saksi mata dapat mengenal pasti tertuduh. 

2. Apakah peruntukan undang-undang yang membenarkan ujian kawad cam ?


Ujian kawad cam diterima sebagai bukti di bawah seksyen 9 Akta Keterangan 1950

3. Apakah prosedur untuk menjalankan ujian kawad cam ?


Tiada undang-undang bertulis yang menerangkan prosedur untuk menjalankan kawad cam.

Walaubagaimanapun, Hakim Vernon Ong dalam kes Pendakwa Raya lwn Joachim Selvanathan [2009] MLJU 748 telah merumuskan prosedur untuk menjalankan kawad cam seperti berikut:-
  1. Semua orang yang berada di kawad cam hendaklah terdiri daripada kumpulan etnik yang sama & kategori kehidupan yang sama dengan suspek;
  2. Jurang umur antara mereka tidak sepatutnya terlalu berbeza;
  3. Mereka yang berada di barisan kawad cam tidak semestinya mempunyai ciri-ciri yang sama;
  4. Kawad cam hendaklah dijalankan secepat mungkin;
  5. Kawad cam yang berasingan hendaklah dijalankan sekiranya melibatkan 2 atau lebih suspek;
  6. Saksi tidak dibenarkan untuk melihat suspek sebelum proses kawad cam bermula;
  7. Saksi tidak dibenarkan untuk diberi bantuan dalam proses pengecaman melalui sebarang gambar atau penerangan secara lisan;
  8. Suspek hendaklah diletakkan di dalam barisan di antara tidak kurang 9 hingga 10 orang;
  9. Suspek hendaklah dibenarkan berdiri di susunan barisan mengikut kehendaknya dan dia boleh menukar posisinya selepas setiap saksi dipanggil;
  10. Saksi hendaklah ditanya sama ada dia mempunyai bantahan terhadap mana-mana orang yang hadir dalam kawad cam atau cara pengaturan;
  11. Saksi hendaklah dibawa masuk seorang demi seorang;
  12. Saksi yang telah selesai dengan proses pengecaman hendaklah diasingkan dengan saksi seterusnya;
  13. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah memastikan kawad cam dijalankan dengan betul dan adil;
  14. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah merekodkan setiap keadaan yang berkaitan dengan pengecaman, nama dan keputusan saksi dengan lengkap, adil dan berhati-hati. 

4. Adakah kawad cam perlu dijalankan dalam setiap kes ?


Pihak pendakwaan tidak perlu menjalankan kawad cam dalam setiap kes. Jika isu utama melibatkan identiti tertuduh atau apabila kes terhadap tertuduh bergantung sepenuhnya atau sebahagian besarnya pada pengecaman tertuduh dan pembelaan tertuduh adalah kesilapan pada pengecaman, garis panduan yang ditetapkan dalam kes Regina v Turnbull & Anor [1977] 1 QB 224 perlu diikuti dan kawad cam dijalankan. (Ahmad Najib bin Aris lwn PP [2009] 2 MLJ 613)

5. Bagaimana jika saksi melihat tertuduh sebelum proses kawad cam ?


Dalam Pendakwa Raya lwn Ayyavoo a/l Subramaniam [2004] 6 MLJ 551, SP6 memberi keterangan bahawa beliau telah mengecam tertuduh pertama yang mana beliau telah lihat tertuduh pertama dalam keadaan bergari sebelum proses kawad cam. Oleh itu, pengecaman SP6 terhadap tertuduh pertama adalah tidak berguna dan tidak mempunyai nilai kerana bertentangan dengan peraturan kawad cam yang perlu dijalankan secara adil dan bebas. 

6. Apakah yang berlaku sekiranya kehendak prosedur dalam menjalankan kawad cam tidak dipatuhi?


Sekiranya tidak dipatuhi, ia tidak secara automatik menolak penerimaan pengecaman kawad cam selagi dijalankan secara adil. (Muhammad Zakwan bin Zainuddin lwn PP dan rayuan lain [2002] 8 MLJ 420)

7. Adakah bukti kawad cam yang dijalankan selepas tempoh yang lama dari masa kejadian itu boleh dipercayai ?

Dalam Mohd Aizuddin bin Khamis lwn PP [2020] 7 MLJ 781, Hakim Ahmad Shahrir mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap perayu kerana kualiti pengecaman tidak memuaskan. Hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan fakta bahawa kawad cam dijalankan 3 bulan selepas kejadian. Jadi terdapat kebarangkalian pengecaman oleh saksi mata tersebut adalah jujur tetapi tersilap. Selain itu, tiada ciri-ciri pengecaman terhadap suspek yang mencukupi dan jelas yang diterangkan oleh saksi mata. 

Comments

Popular posts from this blog

CASE SUMMARY: TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR V PUBLIC PROSECUTOR [2021]

Selamat Datang