HAK UNTUK MENGAKSES KENYATAAN SAKSI: SITI AISYAH lwn PENDAKWA RAYA [2019] 4 MLJ 46
Pengenalan
Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan tertuduh memohon untuk mengemukakan dokumen berkaitan siasatan polis. Walau bagaimanapun, orang yang dituduh tidak berhak menemui atau memeriksa bukti atau bahan dalam milikan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan dimulakan kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 51A KTJ.
Dalam permohonan itu, orang yang dituduh mesti menunjukkan bahawa pengemukaan dokumen adalah perlu atau wajar untuk tujuan sebarang perbicaraan.
Salah satu dokumen penting kepada pihak pembelaan ialah kenyataan polis/kenyataan saksi yang diberikan oleh saksi di bawah seksyen 112 KTJ. Persoalannya adakah tertuduh mempunyai hak untuk memeriksa kenyataan polis di bawah seksyen 112 KTJ yang didakwa sebagai dokumen yang mendapat perlindungan mutlak.
Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Husdi lwn Pendakwa Raya [1980] 1 LNS 29
Syed Othman HMP menyatakan bahawa kenyataan polis adalah keperluan undang-undang bertulis dalam bentuk seksyen 112 KTJ. Bagaimanapun, hak untuk memeriksa kenyataan polis tidak dinyatakan dalam KTJ atau Akta Keterangan 1950.
Yang Arif telah merujuk kepada dua kes India, Methuram Dass lwn Jagannath Dass ILR 28 Cal 794 dan Martin Rhienus lwn Sher Singh [1949] MLJ 201. Walau bagaimanapun, kedua-dua kes ini bukanlah kes mengenai pendedahan kenyataan polis dalam perbicaraan jenayah tetapi tuntutan bagi ganti rugi untuk fitnah berkenaan dengan kenyataan yang dibuat dalam siasatan polis.
Pandangan Syed Othman HMP ialah apabila kenyataan polis dianggap mempunyai keistimewaan mutlak untuk satu tujuan kehakiman (keistimewaan untuk tindakan dalam fitnah), ia turut memberi keistimewaan untuk tujuan lain (larangan terhadap pendedahan dalam perbicaraan jenayah).
Siti Aisyah lwn Pendakwa Raya [2019] 7 CLJ 33
Fakta Material
Perayu yang telah didakwa membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, membuat permohonan di bawah seksyen 51 KTJ untuk perintah mengarahkan pihak pendakwaan memberikan keterangan polis yang diberikan oleh tujuh saksi.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu kerana kenyataan polis tidak tertakluk kepada pendedahan. Kenyataan polis adalah dokumen yang mempunyai perlindungan mutlak.
Isu
Adakah tertuduh berhak mendapat kenyataan polis yang direkodkan di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah?
Keputusan
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi. Salinan kenyataan polis hendaklah diberikan kepada perayu.
Penghakiman Mahkamah Rayuan
Harmindar Singh Dhaliwal HMR menyampaikan penghakiman:
Kenyataan Polis Tiada Perlindungan Mutlak
- Beberapa peruntukan undang-undang yang membenarkan kenyataan polis diterima sebagai keterangan dalam keadaan tertentu menunjukkan bahawa kenyataan polis tidak bertujuan untuk menjadi dokumen yang mempunyai perlindungan mutlak.
- Antara keadaannya adalah:
- Mencabar dan memfitnah kredibiliti saksi melalui campur tangan dan perintah pengemukaan pernyataan seksyen 112 KTJ.
- Kewajipan pendakwaan untuk menyerahkan dokumen tertentu kepada tertuduh sebelum permulaan perbicaraan di bawah seksyen 51A KTJ.
- Kesalahan kerana memberi keterangan palsu di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan.
- Komunikasi antara pembuat kenyataan dan pegawai polis bukanlah komunikasi sulit di bawah seksyen 124 AK 1950.
- Seksyen 32(1)(i) dan (j) Akta Keterangan 1950 menganggap kenyataan polis yang diberikan oleh seseorang yang telah mati atau tidak dapat ditemui berpotensi diterima sebagai keterangan. (Pengecualian kepada peraturan dengar cakap)
- Kebolehterimaan kenyataan polis tertakluk kepada kaedah-kaedahh kerelevanan dan kaedah-kaedah pengecualian. Bagaimanapun, tiada peruntukan statutori yang membenarkan atau melarang pendedahan kenyataan polis.
- Prinsip common law Inggeris menyatakan bahawa jika tiada sebab yang kukuh untuk tidak memberi pendedahan, pihak pendakwaan mempunyai kewajipan untuk mendedahkan dan memberikan kenyataan saksi kepada pihak pembelaan.
Pengemukaan Kenyataan Polis adalah Perlu dan Penting
- Peranan tujuh saksi dan kaitan keterangan mereka semasa peringkat pendakwaan menunjukkan kenyataan polis tersebut boleh membantu kes pembelaan.
- Permohonan itu dibuat pada akhir peringkat pendakwaan dan bukan sebelum peringkat pendakwaan di mana hakim dapat melihat keperluan untuk memeriksa kenyataan saksi pihak pendakwaan.
Ulasan
Adalah penting untuk diketengahkan bahawa di Malaysia, satu-satunya autoriti untuk kes perlindungan mutlak berkaitan kenyataan polis adalah kes Husdi. Keputusan dalam Husdi lwn PR sepatutnya tidak lagi diikuti kerana ia bertentangan dengan kewajipan common law oleh pihak pendakwaan untuk mendedahkan kepada pihak pembelaan kenyataan polis saksi-saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan yang perlu dan wajar untuk kes mereka. Untuk memastikan perbicaraan yang adil, pendedahan dokumen yang penting dan diperlukan harus dibenarkan.
Comments
Post a Comment