PENJUALAN GANJA UNTUK TUJUAN PERUBATAN: MUHAMMAD LUKMAN MOHAMAD v PP [2021] 7 CLJ 524
1. PENGENALAN
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, terdapat cadangan dan pembaharuan terhadap status dan kebenaran ganja oleh Kerajaan. Bagaimanapun, tiada keputusan jelas mengenai perkara tersebut. Pada 18 Februari 2021, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional akan mengekalkan status terkini ganja seperti yang dikuatkuasakan oleh Akta Dadah Berbahaya 1952.
Walaupun status ganja dalam undang-undang semasa tidak berubah, bolehkah kita menjual ganja dengan niat baik untuk menyembuhkan pesakit dari pelbagai penyakit? Muhammad Lukman Mohamad lwn PP [2021] 7 CLJ 524 menjawab persoalan ini.
2. APA YANG BERLAKU ?
Perayu dalam kes ini adalah penjual ganja perubatan dalam talian. Pada 7 Disember 2015, sebuah rumah di Banting, Selangor telah diserbu oleh sepasukan polis di mana ia ditemui peralatan untuk menghisap dadah, botol berisi minyak ganja dan dadah di kawasan berbeza rumah. Perayu mendakwa tidak mengetahui terdapat dadah di rumah tersebut tetapi mengaku mengetahui minyak itu adalah ganja. Beliau menegaskan minyak itu digunakan untuk tujuan perubatan dan dijual secara dalam talian di laman web “Health-Care.”
3. APAKAH HUJAH PERAYU?
Peguam terpelajar bagi pihak Perayu berhujah bahawa Perayu menjual ganja perubatan secara dalam talian untuk membantu menyembuhkan pelbagai penyakit. Selanjutnya, dihujahkan bahawa tindakan Perayu haruslah dibezakan dengan pengedar dadah lain yang mengeksploitasi kelemahan penagih dadah.
4. BAGAIMANA MAHKAMAH MEMUTUSKAN?
Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Saleh mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa tindakan Perayu masih dalam lingkungan dan skop Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana tiada pindaan untuk mengeluarkan ganja yang merupakan dadah terkawal daripada Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selanjutnya, Perayu tidak mendapat sebarang kebenaran daripada Menteri Kesihatan untuk memiliki, mengilang, mengendalikan, memproses atau untuk penjualan ganja yang disangkal untuk tujuan perubatan.
5. KESIMPULAN
Tiada perbezaan antara "hemp" dan "marijuana" dalam Akta Dadah Berbahaya 1952. Kedua-dua istilah sebenarnya adalah nama yang berbeza untuk ganja yang mengandungi bahan kimia yang berbeza. Memandangkan tiada pindaan ke atas ADB, hanya pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 dan ahli farmasi berdaftar yang mempunyai lesen Jenis A boleh menjual dan membekalkan ganja untuk rawatan perubatan.
RUJUKAN:
- MUHAMMAD LUKMAN MOHAMAD v PP [2021] 7 CLJ 524
- https://codeblue.galencentre.org/2021/11/09/health-ministry-permits-marijuana-for-medical-treatment/
Comments
Post a Comment