RINGKASAN KES: TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR V PENDAKWA RAYA [2021]



Fakta Material

Perayu merupakan bekas Menteri Kabinet dan setiausaha agung kepada parti UMNO. Beliau juga merupakan pemegang saham kepada syarikat Tadmansori Holding Sdn Bhd.

Pada 2013, projek "Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan" telah dilancarkan dan perayu meminta Tan Sri Chai Kim Kong (SP19) pengarah kepada Aset Kayamas Sdn Bhd untuk terlibat dalam projek tersebut. Semasa projek itu dijalankan, perayu telah meminta dana politik daripada SP19 dalam lingkungan RM 5 juta hingga RM 6 juta untuk digunakan pada 2 pilihan raya kecil yang akan datang. 

Walaubagaimanapun, SP19 telah memberi dana politik bernilai RM2 juta kepada Tadmansori dan bukannya UMNO atas permintaan perayu sendiri.

Tengku Adnan kemudiaan dituduh dibawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keputusan Mahkamah Tinggi

Tengku Adnan telah dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda RM2 juta setelah didapati bersalah. Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa kesemua 4 elemen di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan. 4 elemen tersebut adalah:

  1. Tertuduh, seorang Menteri Wilayah Persekutuan merupakan seorang penjawat awam;
  2. Tertuduh menerima RM 2 juta untuk dirinya sendiri apabila jumlah tersebut dikreditkan ke dalam akaun bank Tadmansori melalui cek Aset Kayamas;
  3. Tiada balasan bagi wang yang diterima kerana tiada urusan perniagaan antara Aset Kayamas dan Tadmansori; dan
  4. Tertuduh tahu bahawa SP19 mempunyai kaitan dengan fungsi rasminya sebagai Menteri bagi Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi mendapati teruduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Tengku Adnan merayu terhadap pertuduhan dan hukuman. 

Keputusan Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan dengan majoriti 2-1 membenarkan rayuan dan mengetepikan pertuduhan dan hukuman. Perayu telah dibebaskan dan dilepaskan. 

Ahmad Nasfy HMR menyampaikan penghakiman majoriti.
Abu Bakar Jais HMR menyampaikan penghakiman menentang.

Penghakiman Majoriti

Ahmad Nasfy HMR telah memutuskan bahawa:-

Hakim bicara telah terkhilaf apabila mendapati elemen kedua di bawah seksyen 165 telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan.
  1. Hakim bicara gagal mengambil kira kegagalan pendakwaan untuk memeriksa semula SP19, di mana dalam keterangannya semasa pemeriksaan balas, beliau telah menyatakan bahawa jumlah RM 2 juta tersebut merupakan dana politik kepada UMNO.
  2. Pendakwaan tidak mencabar keterangan SP19 dalam pemeriksaan semula yang mana beliau menyatakan menerima resit rasmi daripada UMNO pada 16 atau 17 Jun 2016 sebelum perbicaraan dan bukannya diberikan setelah perayu ditahan.
  3. Walaupun terdapat keraguan samaada perayu telah menerima wang tersebut untuk kegunaannya sendiri, adalah nyata apabila terdapat 2 kemungkinan kesimpulan yang boleh dibuat daripada satu set fakta, inferens yang memihak kepada tertuduh harus dibuat. 

Penghakiman Menentang

Abu Bakar Jais mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

RM2 juta yang diberikan oleh SP19 bukannya dana politik
  1. Perayu gagal memberikan bukti yang boleh dipercayai bahawa jumlah RM2 juta tersebut telah digunakan untuk 2 pilihan raya. 
  2. Perayu tidak atau hanya mempunyai tanggungjawab yang kecil untuk meraih dana bagi kegunaan pilihanraya kecil di Selangor dan Perak kerana beliau bukannya pengerusi bagi 2 negeri ini.
  3. Perayu gagal membuktikan sumber wang tunai yang diberikan kepada Datuk Rizalman dan Datuk Zakaria yang mana beliau nyatakan wang tunai tersebut telah digunakan untuk tujuan pilihanraya.

Ulasan

Keputusan ini menarik kerana kita dapat melihat kelemahan dalam skop derma politik di negara kita. Buat masa ini, tiada undang-undang yang mengawal derma politik. Sukar untuk membezakan derma politik dengan rasuah yang menyebabkan ramai ahli politik menyalahgunakan kuasa mereka untuk menerima suapan. Untuk memperjuangkan tadbir urus yang lebih baik, kita memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mengkategorikan derma politik ini.

Comments

Popular posts from this blog

APA ITU 'KAWAD CAM' ?

CASE SUMMARY: TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR V PUBLIC PROSECUTOR [2021]

Selamat Datang